Thursday, August 17, 2006

Menunggu kelahiran anak pertama

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


JAMILAH IBRAHIM.


SAAT menimang cahaya mata yang pertama merupakan sesuatu yang paling menggembirakan pasangan suami isteri. Bermula detik inilah, si suami akan bergelar bapa dan isteri digelar ibu.

Perasaan riang tatkala mendengar tangisan bayi comel yang baru sahaja dilahirkan pasti menceriakan lagi pasangan suami isteri.

Si Isteri pula berasa lega dapat memberikan zuriat kepada suaminya dan suami pula tidak putus-putus memberikan sokongan dari awal mengandung hinggalah saat kelahiran.

Semangat inilah yang dapat dilihat melalui riak wajah peserta-peserta bengkel kesihatan khusus untuk ibu bapa yang bakal menerima kelahiran anak pertama mereka.

Bengkel istimewa untuk wanita hamil dan suami itu dianjurkan oleh Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, Kuala Lumpur ternyata menyuntik semangat mereka dalam membuat persediaan menimang cahaya mata.

Sesekali terdengar juga deraian ketawa memecah suasana senyap pada bengkel yang disampaikan oleh Ketua Jururawat bahagian Klinik Ibu Mengandung, Hospital Pakar Ampang Puteri, Jamilah Ibrahim.

Pelbagai pengetahuan yang dipelajari melalui bengkel yang diadakan sebanyak empat sesi. Ini termasuklah panduan mengurangkan alahan ketika mengandung, proses mengandung dan melahirkan serta penjagaan bayi.

Pada pengkel tersebut, Jamilah menerangkan secara terperinci mengenai proses kelahiran dan perihal sakit bersalin atau lebih dikenali sebagai labour.

Tambah Jamilah, bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada isteri dan juga suami mengenai situasi yang akan berlaku apabila isteri hendak bersalin.

“Ilmu yang saya sampaikan akan mengelakkan suami dan isteri itu menjadi panik.

“Kita mahu suami tetap tenang dan sentiasa bersada di sisi isteri apabila isteri berada di wad bersalin,’’ jelasnya.

Melalui tayangan slaid, peserta didedahkan dengan keadaan ketika hendak bersalin terutamanya ketika proses meneran berlaku.

Jamilah memberitahu, segala pengetahuan ini akan mengelakkan seseorang itu daripada menjadi panik.

Malah, ibu perlu mengetahui cara bernafas dan meneran dengan betul ketika hendak bersalin.

“Setiap ibu bapa perlu bersedia menghadapi sebarang situasi dan doktor atau pihak perubatan sebenarnya hanya memudahkan proses kelahiran,’’ jelasnya.

Menurut Jamilah, sekiranya bakal ibu melakukan pemeriksaan secara berkala seperti yang disyorkan doktor, semuanya akan berada dalam keadaan yang terkawal.

“Ibu yang melalui labour yang agak panjang, tidak bermakna proses kelahiran boleh dipercepatkan.

“Jika pintu rahim belum bersedia untuk terbuka, maka pasangan perlu bersabar kerana dengan mempercepatkan kelahiran, ia boleh menjejaskan keselamatan ibu dan anak dan pintu rahim akan terkoyak,’’ katanya.

Jamilah menjelaskan, kelahiran secara normal adalah proses yang semula jadi dan semua bakal ibu perlu menghadapinya dengan hati yang terbuka serta tenang.

“Terdapat juga rawatan epidural dan pembedahan atau Caesarean untuk bersalin sekiranya ibu tidak mahu bersalin secara normal.

“Kelahiran secara pembedahan juga perlu apabila terjadinya komplikasi termasuk tulang pinggul kecil,sakit bersalin terlalu lama atau pintu rahim tidak terbuka,’’ jelasnya.

Selepas membincangkan mengenai kelahiran, para peserta turut didedahkan dengan kepentingan penjagaan bayi ketika pantang.

Ini termasuklah tentang penyusuan ibu, cara memandikan bayi dan aspek pemakanan yang sihat untuk ibu dan anak.

Apa yang paling penting bengkel seperti ini sebenarnya telah mewujudkan kemesraan antara suami dan isteri.

Kehadiran suami di sisi isteri dari awal mengandung hinggalah selamat melahirkan bayi dapat meringankan kesakitan yang dialami isteri.

Dalam pada masa yang sama, Hospital Pakar Ampang Puteri turut menyediakan perkhidmatan seperti berkunjung ke rumah pesakit selepas melahirkan anak sekiranya mereka tidak mempunyai keluarga terdekat untuk menjaganya ketika pantang.

Pihak hospital akan melawat mereka untuk memastikan ibu dan anak berada dalam keadaan sihat.

Bagi mereka yang berminat mengetahui maklumat lanjut mengenai bengkel ini, mereka boleh menghubungi pihak hospital di talian 03-4270 2500.

APA KATA PESERTA?

Bagi pasangan yang bakal menimang cahaya mata akhir Ogos ini, Norazleen Abdul Razak, 30, dan Zulhaimi Abdul Rahman, 30, melalui bengkel ini mereka mendapat pendedahan awal tentang proses kelahiran.

“Kami juga dapat berkongsi cerita dengan peserta-peserta yang lain yang rata-ratanya sebaya dengan kami.

“Isu-isu yang diutarakan begitu menarik dan kami juga dapat menggambarkan proses yang bakal dilalui,’’ jelas pasangan yang tinggal di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Linda Carolila, 27 dan Hisham Garian, 34, berkata, bengkel ini menolong mereka membuat persiapan awal untuk menerima kehadiran bayi dalam hidup mereka.

Linda yang berasal dari Indonesia dan Hisham yang berketurunan Arab menganggap bengkel ini cukup memberi manfaat kepada pasangan suami isteri terutamanya yang tidak ada keluarga di sisi untuk menceritakan proses kelahiran yang sebenar.

Tuesday, August 15, 2006

SuDUt KEsiHaTAN II...

Tanda-tanda awal kanser payudara

Doktor,
SAYA seorang remaja berumur 20 tahun, ingin mengetahui tanda-tanda awal barah payudara. Adakah kedudukan payudara yang tidak sama merupakan antara tanda-tanda awalnya?

– NANA

Kanser payudara merupakan penyebab utama kematian kanser di kalangan wanita Malaysia.

Pengesanan di peringkat awal perlu dilakukan agar rawatan yang sewajarnya dan berkesan dapat diberikan.

Ia boleh dilakukan melalui kesedaran wanita itu sendiri dengan melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan terutama di kalangan mereka yang berumur 20 tahun ke atas.

Wanita yang telah berumur 30 tahun ke atas patut menjalani pemeriksaan dengan doktor atau kakitangan perubatan berkelayakan.

Pemeriksaan yang berkala dapat mengesan kejadian kanser payu dara di peringkat awal dan memudahkan rawatan yang lebih berkesan.

Tanda-tanda awal kanser payudara

Wanita harus peka kepada perubahan yang berlaku pada payudara dan puting.

* Perubahan rasa di payudara atau puting

* Ketulan atau perubahan ketebalan di payudara atau bawah ketiak

* Puting payudara yang terasa tegang dan sakit

* Perubahan dilihat pada payudara atau puting

* Perubahan saiz dan bentuk payudara

* Puting payudara terperosok ke dalam

* Permukaan kulit payudara, sekeliling puting, atau puting bersisik, merah atau bengkak. Permukaan kulit boleh kasar atau berliang seolah-olah seperti permukaan oren.

Walaupun kanser payudara di peringkat awal biasanya tidak menyebabkan kesakitan, wanita haruslah berjumpa dengan doktor atau kakitangan perubatan yang berkelayakan sekiranya berasa sakit pada bahagian payudara mereka atau tanda-tanda tersebut tidak hilang.

Kebanyakan simptom atau tanda-tanda ini bukan kanser.

Siapa berisiko tinggi?

Tiada siapa tahu punca yang jelas berlakunya kanser payudara. Bagaimanapun kajian menunjukkan beberapa faktor risiko boleh memungkinkan seseorang itu mengalami kanser payudara.

/ Umur: Kemungkinan untuk mendapat kanser payudara semakin tinggi bila wanita semakin berumur.

Penyakit ini jarang dialami oleh wanita sebelum menopaus.

* Sejarah individu kanser payudara: Seorang wanita yang mengalami kanser payudara di sebelah payudara mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser payudara di sebelah satu lagi.

* Sejarah keluarga: Seorang wanita berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara sekiranya ibu, saudara perempuan atau anak perempuannya mengalami kanser payudara.

* Beberapa perubahan di payudara: Beberapa peratus wanita mempunyai sel di payudara yang tidak normal.

Contohnya Atypical hyperplasia atau Lobular carcinoma in situ merupakan sel-sel abnormal di payudara yang mempunyai risiko tinggi mendapat kanser payudara.

l Perubahan genetik: Perubahan pada gen-gen tertentu (BRCA1, BRCA2 dan yang lain).

Wanita yang berada di kalangan keluarga yang mengalami kanser payudara boleh menjalani pemeriksaan genetik untuk mengetahui perubahan pada gen-gen tertentu.

Risiko lain

* Kesuburan dan sejarah haid

* Semakin berumur seseorang wanita semasa memperoleh anak pertama, semakin tinggi risiko untuk mendapat kanser payudara.

* Wanita yang mengalami haid pada umur yang terlalu awal (sebelum 12 tahun), putus haid di usia lewat (selepas umur 55 tahun), atau tidak mempunyai anak juga mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara.

* Mereka yang mengambil terapi hormon menopaus melebihi lima tahun berkemungkinan mendapat kanser payu dara.

* Bangsa: Kanser payudara lebih kerap berlaku di kalangan mereka yang berkulit putih daripada bangsa Asia atau Afrika.

* Obes setelah menopaus: Setelah menopaus, mereka yang obes (terlalu gemuk) berkemungkinan besar mendapat kanser payudara yang lebih tinggi.

* Aktiviti fizikal: Wanita yang tidak aktif langsung sepanjang usianya mengalami risiko yang tinggi untuk memperolehi kanser payudara.

* Alkohol: Beberapa kajian menunjukkan wanita yang meminum arak berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara.

Wanita yang mengalami tanda-tanda di atas perlulah mendapatkan pemeriksaan doktor sebelum menjalani pemeriksaan yang lebih lanjut. Biasanya ketulan yang lembut, licin, bulat dan boleh bergerak-gerak adalah tidak merbahaya atau benigna.

Ketulan yang tidak jelas bentuknya, melekat di dalam tisu payu dara selalunya berkemungkinan besar adalah kanser.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Bedah, Dr. Ab. Shukor Md. Noh

SuDUt KEsiHaTAN I....

Belajar mengira hari subur anda

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

PERANCANGAN keluarga secara semulajadi adalah berdasarkan kepada ketentuan masa hubungan kelamin semasa kitaran haid seseorang wanita.

Ia juga dikenali sebagai kaedah beritma ataupun kaedah masa selamat. Kaedah perancangan keluarga ini membantu sekiranya pasangan tersebut mengikuti tatacara jadual haid dengan tegas setiap masa.

Kejayaan kaedah ini bergantung pada:

* Mengenali bila telur akan dikeluarkan

* Menggunakan kaedah lain, seperti kondom pada hari kesuburan, ataupun tidak mengadakan hubungan kelamin langsung.

“Untuk memastikan keberkesanan kaedah ini, seseorang wanita itu harus tahu fungsi dan perubahan yang terjadi pada badan manakala suami pula berserta isteri mesti mengikuti pola-pola perubahan dengan tepat dan betul.

“Masih ada kebarangkalian untuk mengandung, jadi was-was itu mesti juga ditingkatkan,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

Kaedah perancangan secara semulajadi di mana julat masa untuk hubungan kelamin menjadi pendek dan juga aktiviti kelamin secara spontan terencat ini memungkinkan pasangan enggan mengamalkan kaedah ini.

“Keberkesanan kaedah semulajadi ini tidak seperti kaedah-kaedah yang lain.

“Satu perempat dari mereka yang mengamalkannya mungkin termengandung,’’ tegasnya.

Kaedah semulajadi ini tidak sesuai untuk mereka yang

* Tidak sepatutnya mengandung disebabkan oleh masalah perubatan.

* Kitaran haid yang tidak teratur menyebabkan ramalan masa subur tidak dapat dilakukan

* Masalah dengan pendarahan abnormal dari faraj, radang faraj dan juga pangkal rahim, menyebabkan penentuan kesuburan melalui lelehan mukus serviks tidak tepat

* Penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti antibiotik, antitiroid dan juga antihistamin yang mungkin mengubah sifat tabii rembesan faraj, mengakibatkan kesukaran interpretasi mukus

* Keadaan yang tidak berkaitan dengan kemandulan seperti demam yang dapat mengubah suhu badan asas.

Memahami kaedah perancangan secara semulajadi

Wanita mempunyai dua ovari. Setiap satu darinya berada di sisi rahim. Saban bulan, ovari akan mengeluarkan telur yang kemudiannya akan memasuki tiub fallopio.

Ini dipanggil ovulasi dan ia berlaku pada 12 hingga 14 hari sebelum bermulanya pendarahan haid.

Menurut Dr. Shah Reza, wanita boleh mengandung sekiranya hubungan kelamin berlaku sekitar ovulasi - persenyawaan berlaku di antara telur dan sperma yang diejakulasi ke dalam faraj.

“Hasil persenyawaan ini akan bergerak melalui tiub fallopio untuk disematkan di dinding rahim yang kemudiannya membesar sebagai janin.

“Kaedah perancangan secara semulajadi ini merujuk ke kitaran haid, mengenalpasti hari kesuburan yang perlu dielakkan,’’ katanya.

Ovulasi

Bagi kebanyakan wanita, ujar beliau, telur dikeluarkan dari ovari sekitar dua minggu sebelum haid bulan berikutnya.

Telur ini berupaya untuk disenyawakan dalam tempoh 24 jam selepas dikeluarkan manakala sperma pula dapat bertahan selama tiga hari.

Jenis-jenis kaedah perancangan secara semulajadi

Wanita akan ditunjuk ajar oleh profesional perubatan ataupun kaunselor perubatan bertauliah serta harus tekal terhadap penghayatan kaedah yang dipilih.

Kaedah Mengesan Suhu Badan Asas

Sejurus selepas ovulasi, suhu badan wanita akan meningkat sedikit.

“Satu jangka suhu khas digunakan untuk menyukat suhu badan wanita sejurus bangun tidur dan bacaannya diplotkan sebagai satu graf. Suhu diambil setiap hari.

“Suhu badan seseorang wanita itu turut dipengaruhi oleh demam, tidur yang terganggu serta jadual pekerjaannya terutama yang bersyif,’’ kata Dr. Shah Reza.

Pasangan yang menggunakan kaedah suhu ini tidak boleh mengadakan hubungan kelamin sehingga tiga hari selepas meningkatnya suhu badan.

Kaedah Mengenalpasti ovulasi secara penelitian mukus pangkal rahim

Melibatkan perubahan jumlah mukus yang terhasil serta penelitian pada ketekalannya.

“Lazimnya, wanita akan berasa kelainan pada lelehan mukus yang keluar melalui faraj semasa ovulasi. Perubahan inilah yang harus ditelitikan.

“Bagi kebanyakan wanita, faraj terasa kering sejurus selepas haid sebelum lelehan mukus menjadi lebih bergetah kemudiannya’’ Sebelum ovulasi, mukus ini bertukar menjadi lebih basah dan melicin.

Hari-hari terakhir kebasahan mukus ini selari dengan hari kemuncak ovulasi, kemudiannya mukus akan menjadi lebih kental, mungkin juga langsung hilang dan kekeringan dirasai kembali.

Dr. Shah Reza berkata, masa selamat bermula pada 10 atau 11 hari dari penghujung haid dan juga semasa faraj dirasai kekeringan.

“Masa kesuburan iaitu masa wanita tidak boleh melangsungkan hubungan kelamin bermula dengan petanda pertama mukus dan berlangsung sehingga empat hari selepas hari kemuncak ovulasi.

“Walaupun semasa pendarahan dianggap selamat, mengandung mungkin juga boleh berlaku semasa pendarahan disebabkan oleh penghasilan mukus yang mungkin bertindih dengan masa haid.

“Ini sekali gus memberikan perlindungan dan juga tempat untuk sperma berlabuh selamat. Jadi, wanita haruslah berwaspada,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut, kaedah mukus tidak menggunakan alat penyukat suhu badan - memberikan satu kelebihan untuk mereka yang mempunyai kitaran haid yang tidak menentu.

Bagaimanapun, lelehan mukus ini mungkin tercelaru dengan infeksi faraj, keghairahan seksual, penggunaan bahan pelicin serta ubat-ubatan yang dimakan.

Kaedah Simptotermal

Menggabungkan kedua-dua kaedah suhu dan penelitian mukus. Sebagai tambahannya, seseorang itu harus berwaspada pada tanda-tanda lain ovulasi seperti:

* Kesakitan di bahagian abdomen mungkin juga disertai oleh kekejangan.

* Darah menitik melalui faraj

* Perubahan dengan kedudukan serta keteguhan, kekukuhan pangkal rahim

“Wanita perlu menahan diri dari hubungan kelamin bermula dari kehadiran mukus atau rasa basah sehinggalah hari ketiga selepas peningkatan suhu badan atau pun empat hari selepas kemuncak penghasilan mukus.

“Disebabkan banyak faktor yang dimasukkan ke dalam kaedah ini, jadi kaedah ini lebih berkesan berbanding kaedah-kaedah sebelumnya. Namun begitu, batasan yang mempengaruhi juga adalah sama,’’ Dr. Shah Reza.

Kaedah Kalendar

Juga dikenali sebagai kaedah beritma di mana wanita harus merekodkan dengan pasti kitaran haid selama enam bulan.

Kemudiannya, satu pengiraan sifir mudah digunakan. Kitaran haid dikira dari hari pertama pendarahan hinggalah ke hari pertama haid yang berikutnya.

Kitaran haid biasanya selama 28 hari tetapi julatnya boleh di antara 23 hingga 35 hari, masih dikira sebagai normal. Cara kiraannya:

* Untuk kitaran haid terpendek, tolak harinya selama 18 hari. Ini memberikan hari pertama kesuburan.

* Untuk kitaran haid terpanjang, tolak harinya selama 11 hari. Ini memberikan hari terakhir kesuburan

Sebagai contohnya, jika sepanjang enam bulan penelitian kitaran haid didapati kitaran terpendek adalah 25 hari manakala yang terpanjang 35 hari:

Kitaran terpendek - 18 = 25 - 18 = 7 hari

Kitaran Terpanjang - 11 = 35 - 11 = 24 hari

Bermakna, hari kesuburan iaitu hari di mana hubungan kelamin perlu dielakkan bermula pada hari ketujuh dan berakhir pada hari ke-24.

Kaedah laktasi Amenorrhoea

“Bermakna, seseorang tidak akan datang haid disebabkan oleh perubahan hormon badan akibat menyusukan bayi.

“Hormon prolaktin meningkat, jadi kitaran haid dan juga ovulasi tidak berlaku, langsung kehamilan dapat dielakkan,’’ kata Dr. Shah Reza.

Untuk kaedah ini berjaya, penyusuan harus secara eksklusif tanpa gangguan pemakanan formula bayi.

“Selang di antara penyusuan tidak melebihi empat jam pada sebelah siangnya dan tidak pula melebihi enam jam pada malam hari.

“Lagi khusus penyusuan dan lagi lama anak menyusu bada, lebih berkesanlah kaedah ini. Sekiranya penyusuan diselang-selikan dengan susu formula, lagi cepatlah kitaran haid akan bermula, lagi cepat jugalah kebarangkalian untuk mengandung.’’

Tambah beliau, kaedah laktasi amenorhea lebih berkesan untuk mereka yang berumur disebabkan oleh pertambahan faktor fisiologi kesuburan yang menurun dengan peningkatan umur.

Secara umumnya, kaedah ini mempunyai dua peratus kebarangkalian untuk mengandung pada enam bulan pertama selepas kelahiran, tetapi apabila sahaja pendarahan haid berlangsung, risiko mengandung memuncak.

Dr. Shah Reza turut menasihati para suami agar memberikan kerjasama sekiranya bilangan unit keluarga mahu ditetapkan.

“Sebagai ketua keluarga, mereka tidak sepatutnya menyalahkan isteri sekiranya kegagalan berlaku, juga tidak sepatutnya memaksa si isteri untuk mengamalkan mana-mana kaedah perancangan.’’

Wednesday, August 02, 2006

Khas Buat tatapan & Renungan Para Suami...

Khas untuk isteri2 pejuang; dan suami yang "ditinggalkan" isteri

Di tuju istimewa buat abang, suamiku....

MEMAHAMI ERTI SEPI
TANPA ISTERI DISISI

Tidaklah mudah untuk melepasi pelbagai rintangan dan badai , seiringi usia perkahwinan saya yang kini melewati sempadan tahun ke 12 . Tentu sahaja terlalu banyak asam garam malah juga pahit maung yang telah dilalui dalam usia perkahwinan kami .

Biarpun usia perkongsian hidup ini masih terlalu muda , namun kami berharap agar masa depan perkongsian ini menatijahkan kebahagiaan dan kesejahteraan buat kami .

Sebagaimana tingginya harapan Siti Nurhaliza bersama pasangannya Datuk Khalid Mohd Jiwa yang disiar secara langsung di TV3 tengahari tadi , demikianlah jua tingginya harapan kami sekeluarga untuk melihat kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga terus menjadi milik kami .

Pastinya jua ia menjadi harapan semua keluarga dan rumahtangga . Semoga Allah swt. merestui kami semua.

Saya sering berada di luar rumah berbanding di dalam rumah sepanjang tempoh perkahwinan kami , ekoran hambatan sebuah perjuangan yang kerananya lah kami bertemu dan bersatu .

Saat berpisah begitu ,( biarpun seketika ) sebagai manusia yang punya perasaan adalah merupakan saat sukar dan payah untuk dihadapi malah pahit pula untuk ditelan oleh isteri dan anak - anak.

Keluar 3 atau 4 hari malah terkadang membawa kepada 7 hingga 10 hari adalah situasi biasa yang kami alami dalam perkongsian hidup ini. Sungguhpun berat untuk diharungi oleh isteri dan anak – anak , begitu berat bagi saya dengan perasaan yang terbeban antara tugas perjuangan dan belaian kasih sayang .

Bahkan kami pernah diuji oleh Allah dengan berpisah selama 2 tahun , dipisahkan oleh lautan luas dengan saya di bumi Mesir sementara isteri dan anak di tanahair.

Saya selalu memujuk isteri dan anak – anak agar bersabar dengan situasi seperti ini dengan mengambil contoh pengorbanan yang dilakukan oleh sahabat – sahabat seperjuangan yang lain . Dimana mereka jauh lebih berat dan hebat ujian yang terpaksa dirempuh .

Seringkali pujukan itu menjadi penawar kasih yang berjauhan . Sedar tak sedar , kini rumahtangga kami telah berusia 12 tahun dengan dikurniakan cahaya mata seramai 6 orang . Alhamdulillah , cahaya mata bukan sahaja menjadi penyeri rumahtangga kami bahkan penyambung hayat kasih kami suami isteri.

Saat saya menatah coretan ini , saya masih terlantar dan tersadai dirumah setelah 3 hari berlarutan demikian tanpa isteri disisi . Malah anak – anak jua turut diserang demam yang membuatkan keadaan semakin sulit dan sukar.

Isteri saya terpaksa menghadhiri kursus rutin untuk confirm jawatan beliau sebagai seorang guru lepasan ijazah di Temerloh selama 2 minggu .

Pendek kata , kini giliran saya ditinggalkan dalam tempoh yang saya rasakan bagai 2 tahun lamanya , bukan lagi 2 minggu .

Manakan tidak . Kepala sakit , lepas tu , nak seliakan prosuder biasa anak – anak di pagi hari yang akan bersiap ke sekolah , mengemas rumah , memasak , membasuh dan macam – macam lagi ……..

Ya Allah , hilang kudrat saya dibuatnya . Barulah kini saya terfikir , bagaimanalah tubuh lemah gemalai seorang perempuan bergelar isteri mampu selama ini membesarkan anak 6 orang dengan segala tanggungjawab rumahtangga , di tambah pula dengan profesionnya sebagai guru di sekolah dan pula tugasnya sebagai seorang pejuang yang mempunyai tugas penting di medan sedang saya sering tiada di sisinya.

Hebat ! kemampuan luar biasa ! itulah saja yang boleh saya keluhkan .

Kini , perasaan kasih dan cinta saya buat isteri kian menebal . Rasa rindu mula membuak sedang baru 3 hari beliau tiada di rumah . bagaimanalah saya nak tunggu 11 hari lagi . Tiada tertahan rasanya .

Ya , saya mula memahami erti “terpenjara dalam sangkar sepi” , yang sering dialami oleh isteri saya selama ini .

Buat isteriku , terimalah Monolog ini !

MONOLOG
BUAT ISTERI SEORANG PEJUANG

Jelmaanmu merentas bongkah sendu
Mengorban naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu

Isteriku…
Kehadhiranmu adalah mustika
Mengerlip cahaya sakinah
Laksana bintang membentuk arah burujnya

Isteriku…
Saban waktu , dirimu abdi di gobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlinganmu mengorak senyumku
Kesetiaanmu menyejuk mataku

Isteriku…
Ketika kesejukan mataku
Memandang wajahmu duhai isteriku
Memori ini mengimbau zaman remajaku
Dikala kuhamparkan tangan ke awan biru
Merintih harap isteri yang solehah
Penyejuk mata dan penyeri rumahtangga

Isteriku…
Di senjakala , ku menongkat resah
Dirimu tersangkar dalam kemiskinanku
Dirimu tak punya manikam permata untuk kukalungkan
Tiada nota ringgit untuk kuunjukkan
Tiada lambang kemewahan untukku hamparkan
Dirimu hanya ku langir debu
Ku balutkan jubah
Ku hilangkan dahagamu secangkir Cuma
Ku hambat bosanmu seketika sahaja

Isteriku…
Di hening subuh ku merenung sayu
Dirimu kesepian dalam kesibukkanku
Hari - hari berlabuh kita berasingan
Kesedihanmu , sementara diriku di medan
Kesakitanmu pun tiada aku disisi
Rumahku , dirimulah penanti setia
Sementara bagiku , ia hanyalah dangau persinggahan

Isteriku…
Dirimu masih setia dalam sangkar yang sepi
Demi nilai cinta dan ketaatanmu

Isteriku…
Dongaklah wajahmu ke atas
Hulurlah tanganmu ke hadapan
Tabahlah duhai isteriku
Tidakkan ku sia siakan hidupmu
Kan ku hidangkan ilmu buatmu
Kan ku bawamu ke alam perjuangan
Kan ku hantarkan ke perlembahan hidayah

Isteriku…
Bajailah cinta kita
Tenggelamkanlah kemelut rasamu

Isteriku…
Diriku tetap setia disampingmu
Sungguhpun kita jarang bertemu

Sayang isteriku…
sayang isteriku