Wednesday, August 02, 2006

Khas Buat tatapan & Renungan Para Suami...

Khas untuk isteri2 pejuang; dan suami yang "ditinggalkan" isteri

Di tuju istimewa buat abang, suamiku....

MEMAHAMI ERTI SEPI
TANPA ISTERI DISISI

Tidaklah mudah untuk melepasi pelbagai rintangan dan badai , seiringi usia perkahwinan saya yang kini melewati sempadan tahun ke 12 . Tentu sahaja terlalu banyak asam garam malah juga pahit maung yang telah dilalui dalam usia perkahwinan kami .

Biarpun usia perkongsian hidup ini masih terlalu muda , namun kami berharap agar masa depan perkongsian ini menatijahkan kebahagiaan dan kesejahteraan buat kami .

Sebagaimana tingginya harapan Siti Nurhaliza bersama pasangannya Datuk Khalid Mohd Jiwa yang disiar secara langsung di TV3 tengahari tadi , demikianlah jua tingginya harapan kami sekeluarga untuk melihat kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga terus menjadi milik kami .

Pastinya jua ia menjadi harapan semua keluarga dan rumahtangga . Semoga Allah swt. merestui kami semua.

Saya sering berada di luar rumah berbanding di dalam rumah sepanjang tempoh perkahwinan kami , ekoran hambatan sebuah perjuangan yang kerananya lah kami bertemu dan bersatu .

Saat berpisah begitu ,( biarpun seketika ) sebagai manusia yang punya perasaan adalah merupakan saat sukar dan payah untuk dihadapi malah pahit pula untuk ditelan oleh isteri dan anak - anak.

Keluar 3 atau 4 hari malah terkadang membawa kepada 7 hingga 10 hari adalah situasi biasa yang kami alami dalam perkongsian hidup ini. Sungguhpun berat untuk diharungi oleh isteri dan anak – anak , begitu berat bagi saya dengan perasaan yang terbeban antara tugas perjuangan dan belaian kasih sayang .

Bahkan kami pernah diuji oleh Allah dengan berpisah selama 2 tahun , dipisahkan oleh lautan luas dengan saya di bumi Mesir sementara isteri dan anak di tanahair.

Saya selalu memujuk isteri dan anak – anak agar bersabar dengan situasi seperti ini dengan mengambil contoh pengorbanan yang dilakukan oleh sahabat – sahabat seperjuangan yang lain . Dimana mereka jauh lebih berat dan hebat ujian yang terpaksa dirempuh .

Seringkali pujukan itu menjadi penawar kasih yang berjauhan . Sedar tak sedar , kini rumahtangga kami telah berusia 12 tahun dengan dikurniakan cahaya mata seramai 6 orang . Alhamdulillah , cahaya mata bukan sahaja menjadi penyeri rumahtangga kami bahkan penyambung hayat kasih kami suami isteri.

Saat saya menatah coretan ini , saya masih terlantar dan tersadai dirumah setelah 3 hari berlarutan demikian tanpa isteri disisi . Malah anak – anak jua turut diserang demam yang membuatkan keadaan semakin sulit dan sukar.

Isteri saya terpaksa menghadhiri kursus rutin untuk confirm jawatan beliau sebagai seorang guru lepasan ijazah di Temerloh selama 2 minggu .

Pendek kata , kini giliran saya ditinggalkan dalam tempoh yang saya rasakan bagai 2 tahun lamanya , bukan lagi 2 minggu .

Manakan tidak . Kepala sakit , lepas tu , nak seliakan prosuder biasa anak – anak di pagi hari yang akan bersiap ke sekolah , mengemas rumah , memasak , membasuh dan macam – macam lagi ……..

Ya Allah , hilang kudrat saya dibuatnya . Barulah kini saya terfikir , bagaimanalah tubuh lemah gemalai seorang perempuan bergelar isteri mampu selama ini membesarkan anak 6 orang dengan segala tanggungjawab rumahtangga , di tambah pula dengan profesionnya sebagai guru di sekolah dan pula tugasnya sebagai seorang pejuang yang mempunyai tugas penting di medan sedang saya sering tiada di sisinya.

Hebat ! kemampuan luar biasa ! itulah saja yang boleh saya keluhkan .

Kini , perasaan kasih dan cinta saya buat isteri kian menebal . Rasa rindu mula membuak sedang baru 3 hari beliau tiada di rumah . bagaimanalah saya nak tunggu 11 hari lagi . Tiada tertahan rasanya .

Ya , saya mula memahami erti “terpenjara dalam sangkar sepi” , yang sering dialami oleh isteri saya selama ini .

Buat isteriku , terimalah Monolog ini !

MONOLOG
BUAT ISTERI SEORANG PEJUANG

Jelmaanmu merentas bongkah sendu
Mengorban naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu

Isteriku…
Kehadhiranmu adalah mustika
Mengerlip cahaya sakinah
Laksana bintang membentuk arah burujnya

Isteriku…
Saban waktu , dirimu abdi di gobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlinganmu mengorak senyumku
Kesetiaanmu menyejuk mataku

Isteriku…
Ketika kesejukan mataku
Memandang wajahmu duhai isteriku
Memori ini mengimbau zaman remajaku
Dikala kuhamparkan tangan ke awan biru
Merintih harap isteri yang solehah
Penyejuk mata dan penyeri rumahtangga

Isteriku…
Di senjakala , ku menongkat resah
Dirimu tersangkar dalam kemiskinanku
Dirimu tak punya manikam permata untuk kukalungkan
Tiada nota ringgit untuk kuunjukkan
Tiada lambang kemewahan untukku hamparkan
Dirimu hanya ku langir debu
Ku balutkan jubah
Ku hilangkan dahagamu secangkir Cuma
Ku hambat bosanmu seketika sahaja

Isteriku…
Di hening subuh ku merenung sayu
Dirimu kesepian dalam kesibukkanku
Hari - hari berlabuh kita berasingan
Kesedihanmu , sementara diriku di medan
Kesakitanmu pun tiada aku disisi
Rumahku , dirimulah penanti setia
Sementara bagiku , ia hanyalah dangau persinggahan

Isteriku…
Dirimu masih setia dalam sangkar yang sepi
Demi nilai cinta dan ketaatanmu

Isteriku…
Dongaklah wajahmu ke atas
Hulurlah tanganmu ke hadapan
Tabahlah duhai isteriku
Tidakkan ku sia siakan hidupmu
Kan ku hidangkan ilmu buatmu
Kan ku bawamu ke alam perjuangan
Kan ku hantarkan ke perlembahan hidayah

Isteriku…
Bajailah cinta kita
Tenggelamkanlah kemelut rasamu

Isteriku…
Diriku tetap setia disampingmu
Sungguhpun kita jarang bertemu

Sayang isteriku…
sayang isteriku

0 tuan penasihat: